Skip to main content

SCHOOL OF BIOLOGICAL SCIENCES

PELAJAR PPSKH CIPTA SEJARAH RAIH EMAS PERTAMA MALAYSIA DALAM JUDO DI SUKAN KOMANWEL GLASGOW 2026

Poster   AMIR DANIEL ABDUL MAJEED

PULAU PINANG, 2 Ogos 2026 – Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSKH), Universiti Sains Malaysia (USM) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Amir Daniel Bin Abdul Majeed, pelajar Tahun 3, Sarjana Muda Sains Gunaan (Biologi Persekitaran), atas kejayaan membanggakan apabila merangkul Pingat Emas dalam acara Judo Lelaki Bawah 81 kg pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Kejayaan tersebut melakar sejarah apabila Amir Daniel muncul sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi pingat emas dalam sukan judo di temasya Sukan Komanwel, sekali gus menghadiahkan pingat emas kelapan buat kontinjen negara di Glasgow 2026.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Scottish Event Campus (SEC), Glasgow, Amir Daniel berjaya menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen, menerusi kemenangan waza-ari hasil teknik kata-guruma. Lebih membanggakan, beliau yang berada di kedudukan ke-117 dunia berjaya menewaskan lawan yang berada di ranking ke-41 dunia, sekali gus memperbaiki pencapaiannya selepas meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga PPSKH, malah turut mengharumkan nama USM dan negara di persada antarabangsa. Pencapaian beliau membuktikan bahawa kecemerlangan akademik mampu digabungkan dengan prestasi sukan bertaraf dunia melalui disiplin, komitmen dan semangat juang yang tinggi.

Seluruh warga PPSKH mendoakan agar Amir Daniel terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan serta menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk terus cemerlang dalam bidang akademik, penyelidikan, kepimpinan dan sukan.

Kredit/Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2026/08/1596626/pingat-ini-untuk-seluruh-rakyat-malaysia-amir-daniel

Teks disediakan oleh: Nur Ain Nabila Binti Mohamad Zaihan
Tarikh: 3 Ogos 2026